Created (c) by Muhammad Hanafi (DeeJayHan)

Kebenaran Al-Quran Sehari Bersamaan Seribu Tahun


“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa…” (Surah al-Isra’ ayat 1).
DUNIA mengalami lonjakan sains apabila Albert Einstein (1879-1955) mengemukakan teorinya mengenai konsep nisbi Relaviti. Untuk kira-kira 200 tahun sebelum itu ahli fizik bergantung kepada hukum Newton. Pada zaman itu, dikatakan bahawa masa adalah tetap contohnya kadar masa sejam adalah sama di semua tempat dan keadaan.
Bagaimanapun, pemahaman itu akhirnya berubah dan sejak itu tanggapan mengenai masa berubah sama sekali. Menurut pandangan Einstein, masa adalah satu aspek relatif (nisbi) dan ia bergantung kepada kepantasan seseorang itu bergerak.
Mengikut fahaman Newton sebelum itu, masa boleh diumpamakan sebagai air yang mengalir di sungai. Jika kelajuan air itu disukat di mana-mana tempat, ia akan menghasilkan keputusan yang sama. Perkara itu dikiaskan kepada masa; jika masa disukat di mana-mana tempat di alam raya ini, keputusannya adalah sama.
Kita bawakan contoh. Jika Ali dan Ahmad menyeragamkan jam masing-masing dan Ali menaiki kapal angkasa yang pantas bergerak lalu kembali sejam kemudian berdasarkan jam di tangannya, menurut hukum Newton, Ahmad yang menunggu di bumi selama sejam untuk Ali kembali, maka jam mereka akan menunjukkan masa yang sama.
Einstein menolak hukum Newton ini. Menurut teorinya masa bergantung kepada kelajuan seseorang itu bergerak. Jika Ali meninggalkan bumi menggunakan kapal angkasa pada jam 1 tengah hari dan perjalanannya amat pantas sehingga menyamai kelajuan cahaya, dan Ahmad sedang memerhati jam Ali, maka Ahmad akan mendapati jam Ali terlalu lambat bergerak berbanding jam yang berada di tangannya.
Oleh itu, menurut teori Einstein, jika jam Ahmad menunjukkan 2 petang, maka jam Ali baru menunjukkan 1.05 minit, itu contohnya.
Di satu sudut lain pula, Ali akan melihat Ahmad berkelakuan agak aneh kerana melihat si Ahmad melakukan sesuatu dengan amat pantas seperti menonton televisyen yang dicepatkan kelajuannya ke hadapan.
Pelik bukan?. Perbezaan waktu ini terkandung dalam semua persekitaran bagi Ali dan Ahmad. Jika Ali pulang ke bumi setahun kemudian (menurut perkiraan beliau) beliau mungkin mendapati usia Ahmad sudah 12 tahun lebih tua. Bukan itu saja, Ali dan Ahmad berasa dalam keadaan normal kerana Ali tidak merasa kehidupannya berlangsung terlalu cepat dan begitu juga dengan Ahmad yang tidak merasakan hidupnya terlalu lambat berbanding normal.
Ahli sains menggunakan Muon ( satu partikel lebih kecil daripada atom) untuk membuktikan idea kenisbian masa. Hayat Muon ini adalah kira-kira 2.2 mikro saat dan selepas itu ia bertukar menjadi elektron. Jangka hayat pendek ini disukat ketika Muon menjadi statik.
Apabila Muon ini bergerak iaitu pada kelajuan hampir menyamai kelajuan cahaya, didapati ia hidup 30 kali lebih lama daripada masa ia berhenti (statik). Ini adalah sama dengan apa yang berlaku antara Ali dan Ahmad.
Ahmad mendapati hayat Ali lebih panjang. Banyak lagi teori fizik ini dilakukan oleh ahli sains yang termaktub dalam buku fizik. Tetapi untuk lebih mudah lagi, mungkin kita boleh menonton kembali kisah Back To The Future atau Stargate.
Kisah seorang yang hidup di zaman moden, boleh kembali ke zaman dulu kala untuk mengubah atau menetapkan sejarah menggunakan apa yang dipanggil terowong masa atau jam masa, menurut gambaran yang diberikan oleh pengarah program televisyen itu.
Ini juga boleh dikaitkan dengan penemuan sains mengenai realiti maya umpamanya seperti metafora laut atau sesuatu tempat yang jauh, boleh diteroka menggunakan kaedah ini, atau secara mudahnya, membawa alam sedar diri seseorang ke sesuatu dimensi baru tempat yang ingin dituju sama ada tanpa membabitkan pergerakan jasad atau jasad turut sama menyertainya.
Einstein menemui idea relatif masa ini pada 1921, tetapi Allah dalam kitab suci al-Quran sudah 1400 tahun menyatakan idea relativiti ini dengan menggunakan keterangan yang jelas.
Ia tidak dapat difahami kecuali bagi mereka yang menggunakan akal dan memerhatikan segala tanda penciptaanNya di muka bumi ini. Allah menegaskan:
“Dia mengatur urusan dari langit ke bumi kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitungan kamu.” Surah As-Sajadah, ayat 5.
Ia diikuti:
“Para Malaikat dan Jibril naik (menghadap) Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun,” Surah al-Maarij ayat 4.
Lihat kepada ayat pertama yang mengemukakan empat frasa dan perkataan yang menjadi inti pati teori khas relativiti iaitu mereka `naik ke atas’, `sehari’, `seribu tahun’, ‘menurut perhitungan kamu’.
Ayat ini menunjukkan bahawa urusan Tuhan ini bergerak ke atas dan bukannya statik. Kemudian ia menyatakan sehari bersamaan dengan pemahaman kita sebagai 1,000 tahun.
Apabila urusan ini meninggalkan bumi dengan pergerakan ke atas, ia merasai perjalanan seperti sehari tetapi bagi kita, ia umpama 1,000 tahun untuk membolehkan urusan itu tiba ke destinasinya.
Boleh disimpulkan, jika anda menaiki kapal angkasa bersama dengan urusan ini dan melihat kepada jam di tangan apabila tiba di destinasi, anda mendapati tempoh perjalanan adalah sehari, tetapi apabila menjenguk keluar dari tingkap kapal angkasa, anda dapati generasi sudah silih berganti di Bumi.
Ayat yang kedua menjelaskan lagi betapa masa ini suatu yang relatif dengan rumusan semakin laju objek semakin besar perbezaan waktunya.
Dalam al-Quran, banyak dinyatakan mengenai soal kelajuan dan masa selain menunjukkan bukti bahawa hanya dengan ilmu Allah, segala perkara yang berlaku di alam sarwajagat dapat difahami, bagi membolehkan seseorang itu mengukuhkan imannya.
Kita lihat dalam kisah Nabi Sulaiman bersama Ratu Balqis.
“… Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum mata kamu berkelip…” (Surah an-Naml, ayat 40)
Satu lagi kisah kepantasan dan masa adalah mengenai Isra’ dan Mikraj, Nabi Muhammad.
“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa…” (Surah al-Isra’ ayat 1).
Menurut kisah ini, Nabi Muhammad dibawa dari Makkah ke Baitulmaqdis (Aqsa ertinya tempat yang jauh) menggunakan tunggangan yang dikenali sebagai Buraq diiringi Jibril. Buraq dalam bahasa Arab adalah pancaran cahaya.
Hari ini, dunia sains menceritakan bahawa cahaya adalah entiti paling pantas bergerak di dunia dengan kelajuan kira-kira 1,120 kilometer sejam.
Jika dulu sahabat Nabi, Abu Bakar digelar As-shiddik atau `yang membenarkan’ ketika mengakui kebenaran kisah Muhammad dalam keadaan masyarakat hidup tanpa pengetahuan tinggi mengenai sains dan teknologi, maka kita yang sudah dibuktikan dengan kelengkapan sains, melihat kemegahan kapal terbang yang mampu mengatasi kelajuan bunyi, seharusnya mempunyai iman yang lebih menebal terhadap agama Islam ini.
Oleh Meor Hisham Zulkifli
Wallahu’alam….
 Sumber...hasnulhadiahmad.com

0 komentar:

Posting Komentar

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More